Memaparkan catatan dengan label pelik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pelik. Papar semua catatan

7 Jan 2014

[PELIK] Bom Disangka Ekzos Motosikal

Seorang pekebun sayur di Kuala Langat, Selangor terkejut apabila objek besi yang disangkanya ekzos motosikal berkuasa tinggi rupa-rupanya bom yang dipercayai masih aktif.

Penduduk Orang Asli, Keling Don, 57, berkata, ketika kejadian dia hendak membersihkan tanaman kacangnya bersama rakannya, Lobo Bosong, 36, sebelum menjumpai bom jenis air drop kira-kira 100 meter dari kawasan tanamannya berhampiran Lebuhraya SKVE, kira-kira jam 4.30 petang kelmarin. Menurutnya, dia dan Lobo percaya bom tersebut merupakan tinggalan Perang Dunia Kedua.

"Saya sedang sibuk bersihkan tanaman dan lihat Lobo mendekati objek keras sebelum memanggil saya.

"Saya sangka objek besi itu ekzos motosikal, tak sangka pula ia adalah bom sepanjang 36 sentimeter iaitu kira-kira sedepa tangan. Nasib baik bom itu tak meletup ketika kami bersihkan kawasan semak di sini," katanya.

Keling yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Orang Asli Taman Desa Kemandol berkata, dia hanya menyedari objek yang sudah berkarat itu sebutir bom selepas melihat fizikalnya pelik dan segera menghubungi Balai Polis Sungai Jarum untuk tindakan lanjut. Katanya, dia tidak berani memindahkan bom berkenaan dan hanya menunggu anggota dari Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor tiba untuk memeriksa bom tersebut.

“Penemuan ini merupakan sejarah buat kami kerana belum pernah sesiapa di kawasan yang mula dijadikan kawasan tumpuan lebuh raya menjumpai bom sejak kawasan hutan di sini diteroka bagi pembinaan lebuh raya.

“Oleh itu kita mohon supaya mana-mana pekebun atau penduduk Orang Asli melaporkan kepada pihak polis sekiranya terjumpa objek yang pelik ketika berada di kebun selain meningkatkan keselamatan ketika melakukan kerja membersihkan kawasan kebun,” katanya.

Sementara itu, bom tersebut telah dimusnahkan oleh unit pemusnah bom IPK Selangor kira-kira jam 1.15 petang semalam di kawasan kebun dengan jarak tiga kilometer dari kawasan perumahan Taman Desa Kemandol. Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azman Abdul Razak ketika dihubungi mengesahkan bom yang dijumpai oleh Orang Asli berkenaan.

"Objek besi yang dijumpai itu adalah bom jenis air drop dengan anggaran berat kira-kira 25 hingga 30 kilogram," katanya.

Sumber: sinarharian.com.my

5 Jan 2014

[PELIK] Bebola Misteri Petanda Gempa Bumi?

Ia dikaitkan dengan UFO (Objek Terbang Tidak Dikenali) dan halusinasi serta dianggap sebagai petanda dunia akan kiamat.

Saintis kini mendakwa berjaya mendedahkan tanda tanya kewujudan bebola terbang misteri dikenali sebagai ‘cahaya gempa bumi.’ Cahaya itu muncul dalam pelbagai bentuk sebelum atau ketika gempa bumi, mungkin petanda amaran awal.

Sebagai contoh, beberapa ketika sebelum gempa bumi L’Aquila, Itali pada 2009, ada penduduk melihat kerlipan cahaya 10 sentimeter di atas batu berturap Francesco Crispi Avenue di pusat bandar bersejarah di situ.

Pada 2012, satu bebola biru yang jatuh dari langit mengejutkan penduduk Riacho dos Pocos, negeri Maranhao di Brazil tetapi ia tidak disusuli gempa bumi.

Pada 1988, bebola cahaya terang ungu merah jambu bergerak menerusi udara di sepanjang Sungai St Lawrence berhampiran bandar ini, 11 hari sebelum satu gempa bumi kuat berlaku.

Pada 1906, kira-kira 100 kilometer di barat laut San Francisco, sepasang suami isteri melihat aliran cahaya bergerak di sepanjang bumi dua malam sebelum gempa bumi kuat yang memusnahkan kebanyakan bandar itu.

Cahaya gempa bumi jarang dilihat kemungkinan muncul pada atau berhampiran perselisihan kerak bumi yang bersempadan oleh gelinciran biasa berbanding gelinciran lain.

Pembawa caj elektrik bergerak diaktifkan tekanan, digelar lubang positif, terbang pantas di sepanjang kecerunan tekanan.

Ketika sampai di permukaan, ia mengionkan molekul udara dan menjana cahaya yang dilihat.

Sumber: bharian.com.my

Baca Yang Ni Pulak...

Jangan lupa "Like" kami untuk mendapat berita terbaru...