
Alhamdulilah, semuanya ketentuan Ilahi dan tiada siapa tahu seseorang insan itu akan mendapat hidayah ALLAH SWT. Adalah menjadi tanggungjawab seseorang insan itu pula untuk menjaga dan memelihara supaya apa saja yang baik pada diri insan itu kekal sampai akhir hayat.
Begitulah juga yang dialami penyanyi yang terkenal dengan lagu What You Waiting For, Shazrina Azman,33, atau Mizz Nina, dalam diam rupa-rupanya mengerjakan ibadat haji di Makkah, awal Oktober lalu. Sejurus pulang dari Tanah Suci Makkah, Jumaat lalu, isteri vokalis Hujan, Noh Salleh, 29, ini mengejutkan pula peminat apabila memutuskan untuk bertudung. Nina dan suami berserta keluarga berada di Tanah Suci, kira-kira tiga minggu.
Sejak beberapa hari lalu, spekulasi mengenai imej baru Nina mula diperkatakan apabila dia memuat naik beberapa keping gambarnya mengenakan hijab selepas pulang dari Makkah. Bagaimanapun, penyanyi terbabit dikatakan belum bersedia untuk menemui media bagi berkongsi cerita penghijrahannya. "Sebagai suami, saya berbangga kerana keputusan yang dibuat Nina adalah atas kerelaannya sendiri, bukan atas paksaan sesiapa. “Saya menyokong apa saja keputusan isteri saya. Berhijab itu perkara yang baik, sudah tentu saya bangga dengan tindakannya,” lapor akhbar, semalam.
Apabila penyanyi bertaraf antarabangsa itu mengambil keputusan untuk mengenakan tudung, pastinya ramai yang tertanya-tanya, bagaimana dia mahu menyesuaikan diri dengan muzik yang diperjuangkannya? Tentunya tidak sesuai jika dia masih beraksi lincah di atas pentas dengan membawa imej berhijab.
Noh berkata, isterinya akur dengan hakikat berkenaan dan sebagai jalan penyelesaian, dia meminta dirinya sendiri untuk menghasilkan lagu yang bersesuaian dengan penampilannya sekarang. “Memang dia ada meminta lagu daripada saya sebelum ini dan saya akan cuba menunaikan permintaannya,” kata Noh yang akan kembali bekerja seperti biasa dalam masa terdekat.
Pada masa sama, rata-rata peminat memuji penampilan baru penyanyi yang mula dikenali ketika bersama kumpulan hip hop, Teh Tarik Crew, yang turut dianggotai Taufiq (Fiquetional), Abdul Rahman (Altimet) dan DJ Fuzz, sekitar 1998 itu. Sebelum ini, penyanyi yang kembali mencipta nama sekitar 2010 apabila muncul secara solo memang dikenali dengan persembahan agresif ketika di pentas, sesuai dengan konsep muzik diketengahkan.
Sejak itu, dia yang kini turut aktif mempromosikan jenama pakaiannya sendiri sering menjadi pilihan penganjur konsert penyanyi antarabangsa. Dia pernah bertindak sebagai artis pembuka tirai untuk konsert Justin Bieber, Bruno Mars dan Usher di Kuala Lumpur. Sejak kembali memeriahkan dunia muzik kira-kira tiga tahun lalu, Nina yang sebelum itu turut berpengalaman sebagai penyampai radio mempunyai dua album studio iaitu What You Waiting For yang diterbitkan pada 2010, manakala Takeover pula menemui peminat pada pertengahan tahun lalu.
Sumber: siasah.com.my