12 Jan 2014

[BERITA] Dalang Insiden Tembakan Di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Sekumpulan penembak yang terlibat dalam insiden tembakan di sini dengan berpakaian hitam, topeng atau tudung hitam dengan muka mereka ditutup. Rakaman CCTV daripada sebuah hotel bajet di Damai, Luyang menunjukkan kenderaan yang dipandu laju selepas beberapa das tembakan dilepaskan di pintu masuk pada tengah malam Jumaat.

"Mereka kelihatan seperti remaja, mereka memandu dengan sangat cepat selepas melepaskan tembakan," kata seorang penyelia restoran bernama Dominic Peter yang melihat rakaman itu.

"Saya tidak dapat melihat jelas, tetapi mereka kelihatan muda," kata Dominic yang mendapat tahu tentang insiden ini pada pagi Sabtu.

Seorang pengawal keselamatan di salah sebuah bank yang disasarkan oleh kumpulan penembak itu berkata bahawa dia mendengar sesuatu yang terkena pada pintu kaca.

"Apabila saya pergi siasat, tingkap kaca itu sudah pecah," katanya, sambil menambah yang dia tidak sedar ia adalah satu "serangan".

Pengawal yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata beliau pada mulanya menyangka seseorang telah membaling objek ke tingkap kaca.

"Kadang-kadang tingkap kaca boleh retak dan pecah, dan saya ingat perkara itu yang berlaku," kata beliau sambil menambah yang beliau tidak melihat mana-mana kereta yang bergerak pergi dari tempat kejadian.

Warga kota berasa bimbang selepas berita ini tersebar selepas kira-kira 30 pertubuhan di Kota Kinabalu, Inanam dan Penampang telah terkena serangan misteri ini, yang mana dilakukan oleh tiga orang penembak yang menggunakan bebola daripada senapang angin.

Tingkap kaca dan pintu hotel yang menjadi sasaran, pusat membeli-belah, bank dan restoran makanan segera penuh dengan lubang peluru dan ada yang berkecai disebabkan tembakan yang dilepaskan oleh orang yang tidak dikenali ini antara tengah malam dan pukul 1 pagi. Setakat ini, tiada laporan kecederaan diterima.

Polis juga menolak kemungkinan insiden ini ada kaitan dengan kumpulan bersenjata Sulu atau pencerobohan di Lahad Datu. Mereka berkata in berkemungkinan adalah kerja kumpulan remaja dan menggesa orang ramai supaya bertenang.

Sumber: thestar.com.my

10 Jan 2014

[ISU] JAIS Akan Pulangkan Bible Jika...

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu mendapatkan pengesahan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung status Bible berbahasa Melayu yang dirampasnya daripada Persatuan Bible Malaysia (BSM) sebelum ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, KDN bertanggungjawab memastikan sama ada Bible itu selari dengan penyelesaian 10 perkara. Penyelesaian kabinet itu antaranya membenarkan pengimportan, penggunaan dan percetakan Bible dalam bahasa kebangsaan.

Khalid berkata, Selangor mempunyai Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 yang menghalang penggunaan nama Allah dalam penulisan, penerbitan, pengucapan awam dan kenyataan.

"Sekiranya KDN berpuas hati penerbitan kitab-kitab ini memenuhi Penyelesaian 10 Perkara, kerajaan negeri akan mengarahkan JAIS untuk memulangkan semula kitab-kitab tersebut kepada BSM," katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Khalid selepas mempengerusikan mesyuarat exco Selangor yang amat panjang hari ini, selama kira-kira 8 jam. Khalid juga berkata Selangor akan terus memastikan titah Sultan dan undang-undang dijaga di samping bekerjasama dengan bukan Islam bagi memastikan mereka hidup dalam harmoni dan bertoleransi.

"Kerajaan negeri menghormati hak kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan dan akan meneruskan usaha mewujudkan masyarakat yang saling menghormati di samping menerima agama Islam sebagai agama rasmi dan peranan Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam," kata beliau.

Januari tahun lalu, Khalid mengumumkan dasar Selangor menyokong enakmen tersebut di samping titah Sultan yang mahu perkataan Allah tidak digunakan dalam konteks agama selain Islam.

Sumber: malaysiakini.com

[BERITA] Lelaki Bakar Kereta Bapa Teman Wanita

Gara-gara hubungan cinta dihalang, seorang lelaki di Segamat, Johor sempat mengejutkan teman wanitanya daripada tidur sebelum meminta melihat dia membakar kereta milik bapa wanita berkenaan, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 3.30 pagi di Taman Seri Chaah, Chaah di sini, lelaki berusia 25 tahun itu memanggil nama teman wanitanya sebelum wanita berkenaan menjenguk melalui tingkap bilik.

Ketua Polis Daerah Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, lelaki terbabit kemudian meminta wanita itu menyaksikan dia membakar kereta PROTON Wira berkenaan dengan sejenis bahan bakar.

“Wanita berusia 20-an yang terkejut dengan tindakan itu terus mengejutkan keluarganya.

Sumber: hmetro.com.my

7 Jan 2014

[PELIK] Bom Disangka Ekzos Motosikal

Seorang pekebun sayur di Kuala Langat, Selangor terkejut apabila objek besi yang disangkanya ekzos motosikal berkuasa tinggi rupa-rupanya bom yang dipercayai masih aktif.

Penduduk Orang Asli, Keling Don, 57, berkata, ketika kejadian dia hendak membersihkan tanaman kacangnya bersama rakannya, Lobo Bosong, 36, sebelum menjumpai bom jenis air drop kira-kira 100 meter dari kawasan tanamannya berhampiran Lebuhraya SKVE, kira-kira jam 4.30 petang kelmarin. Menurutnya, dia dan Lobo percaya bom tersebut merupakan tinggalan Perang Dunia Kedua.

"Saya sedang sibuk bersihkan tanaman dan lihat Lobo mendekati objek keras sebelum memanggil saya.

"Saya sangka objek besi itu ekzos motosikal, tak sangka pula ia adalah bom sepanjang 36 sentimeter iaitu kira-kira sedepa tangan. Nasib baik bom itu tak meletup ketika kami bersihkan kawasan semak di sini," katanya.

Keling yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Orang Asli Taman Desa Kemandol berkata, dia hanya menyedari objek yang sudah berkarat itu sebutir bom selepas melihat fizikalnya pelik dan segera menghubungi Balai Polis Sungai Jarum untuk tindakan lanjut. Katanya, dia tidak berani memindahkan bom berkenaan dan hanya menunggu anggota dari Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor tiba untuk memeriksa bom tersebut.

“Penemuan ini merupakan sejarah buat kami kerana belum pernah sesiapa di kawasan yang mula dijadikan kawasan tumpuan lebuh raya menjumpai bom sejak kawasan hutan di sini diteroka bagi pembinaan lebuh raya.

“Oleh itu kita mohon supaya mana-mana pekebun atau penduduk Orang Asli melaporkan kepada pihak polis sekiranya terjumpa objek yang pelik ketika berada di kebun selain meningkatkan keselamatan ketika melakukan kerja membersihkan kawasan kebun,” katanya.

Sementara itu, bom tersebut telah dimusnahkan oleh unit pemusnah bom IPK Selangor kira-kira jam 1.15 petang semalam di kawasan kebun dengan jarak tiga kilometer dari kawasan perumahan Taman Desa Kemandol. Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azman Abdul Razak ketika dihubungi mengesahkan bom yang dijumpai oleh Orang Asli berkenaan.

"Objek besi yang dijumpai itu adalah bom jenis air drop dengan anggaran berat kira-kira 25 hingga 30 kilogram," katanya.

Sumber: sinarharian.com.my

[BERITA] Pilihan Raya Paling Ganas

Pilihan raya paling ganas Anggota polis menyepak suspek, selepas kejadian serangan ke atas pusat mengundi di Bogra, utara Dhaka, Bangladesh, kelmarin. Lebih 100 pusat mengundi dibakar pada pilihan raya umum yang dicemari keganasan.

Dhaka, parti pemerintah Bangladesh semalam menang dalam pilihan raya antara paling ganas dalam sejarah negara itu, yang dicemari pertempuran jalanan, kadar keluar mengundi rendah dan pemulauan oleh pembangkang yang menjadikan keputusan satu rumusan yang diketepikan.

Walaupun kemenangan Liga Awami sudah dijangka, kekecohan ketika pilihan raya kelmarin meletakkan Bangladesh ke dalam kancah kekacauan dan kelembapan ekonomi, dan membawa kepada lebih banyak keganasan di negara miskin seramai 160 juta penduduk itu. Semalam, pertempuran berkaitan pilihan raya mengorbankan tiga orang di Dohar, di luar Dhaka, kata polis.

Sekurang-kurangnya 18 maut kelmarin apabila polis melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan dan aktivis pembangkang membakar lebih 100 pusat pengundian.

Sumber: bharian.com.my

6 Jan 2014

[BERITA] Pensyarah IPTA Kelar Isteri Hingga Mati

KLANG, akibat krisis rumah tangga, seorang pensyarah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bertindak menikam kepala serta mengelar leher isterinya sebelum mengelar lehernya sendiri di sebuah hotel di sini, awal pagi tadi.

Kejadian itu disedari seorang pekerja hotel kira-kira jam 5 pagi yang terdengar jeritan mangsa dikenali sebagai Norazlina Mohamed Saaid, 49, sebelum mendapati wanita itu sedang ditikam suaminya bertubi-tubi di depan pintu bilik hotel mereka.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, ketika pihaknya tiba di bilik tingkat bawah hotel itu, suspek ditemui di atas katil dengan berlumuran darah manakala isterinya sudah tidak bernyawa di atas lantai dalam keadaan separuh bogel.

"Polis kemudian menemui senjata dipercayai digunakan suspek iaitu sebatang tukul besi dan juga sebilah pisau lipat di dalam bilik berkenaan.

"Suspek cuba diselamatkan dengan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dekat sini, bagaimanapun dia disahkan meninggal ketika dalam perjalanan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber: hmetro.com.my

[ISU] Lebihan Guru Punca Pertukaran Dibeku

gambar hiasan
Tiga negeri di Semenanjung dikenal pasti mempunyai lebih guru yang menyebabkan permohonan pertukaran ramai pendidik dari luar ke negeri terbabit terpaksa dibekukan.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata Kelantan mencatat jumlah lebihan guru paling ramai, iaitu 30,000, diikuti Terengganu dan Kedah, masing-masing mempunyai lebihan 10,000 guru.

Katanya, ramai guru berasal dari tiga negeri terbabit bertugas di luar terutama di Sabah dan Sarawak, memohon bertukar ke negeri kelahiran mereka, tetapi terpaksa ditangguhkan atas alasan itu.

“Antara masalah lain ialah mereka yang memohon tidak memenuhi kekosongan opsyen (aliran) yang diperlukan.

Ramai pemohon daripada aliran Bahasa Melayu, sedangkan keperluan ialah guru Bahasa Inggeris atau pemohonnya guru Sejarah tetapi keperluan adalah untuk mengajar Sains,” katanya.

Sehubungan itu, Idris berkata, mesyuarat peringkat kementerian akan diadakan pertengahan bulan ini bagi membantu guru yang mempunyai alasan kukuh untuk bertukar seperti ibu atau ayah sakit, hendak bersama isteri atau suami yang sudah lama tinggal berjauhan selain masalah keselamatan atau sakit.

“Kementerian bersimpati dengan masalah yang disuarakan guru terbabit, terutama masalah keluarga seperti suami isteri yang berjauhan dan kesihatan ibu bapa,” katanya selepas menyampaikan bantuan pendidikan antara RM500 hingga RM1,000 kepada pelajar miskin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut di sini, semalam.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, Kementerian Pendidikan akan menyiasat dan menyemak harga makanan dan minuman di kantin sekolah seluruh negara bagi memastikan tiada kenaikan melampau yang boleh membebankan ibu bapa serta pelajar.

“Setakat ini, kementerian tidak menerima sebarang aduan daripada pentadbir sekolah atau ibu bapa mengenainya.

Pengusaha kantin sekolah tidak sepatutnya menaikkan harga makanan dan minuman atas alasan kenaikan harga barangan seperti gula sehingga membebankan pelajar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta semua ADUN dan Ahli Parlimen melaporkan kepada kementerian jika ada pelajar yang bermasalah dan tidak dapat bersekolah kerana dibelenggu kemiskinan.

Sumber: bharian.com.my

[SENSASI] Anak Sultan Brunei Bayar Mariah Carey RM4.9 Juta?

LONDON - UNITED KINGDOM. Penyanyi Amerika Syarikat, Mariah Carey dilaporkan dibayar sekitar RM4.9 juta bagi meraikan majlis sambutan hari jadi anak Sultan Brunei, Putera Azim pada malam tahun baru, Jumaat lalu.

Memetik laporan Daily Mail, Carey dijemput oleh Putera Azim itu ke parti hari jadi peribadinya di hotel lima bintang di Dorchester.

Dalam pada itu, wakil Carey berkata, penyanyi itu telah mempersembahkan nyanyiannya kepada Putera Azim, namun tidak mengesahkan berapa bayaran yang diterima penyanyi berkenaan.

"Ini adalah parti 'private' jadi kami tidak membincangkan yurannya. Carey telah lama kenal dengan Putera Azim sejak beberapa tahun lalu.

"Mereka adalah kawan dan banyak melakukan kerja amal bersama," katanya dipetik Daily Mail.

Sumber: sinarharian.com.my

5 Jan 2014

[PELIK] Bebola Misteri Petanda Gempa Bumi?

Ia dikaitkan dengan UFO (Objek Terbang Tidak Dikenali) dan halusinasi serta dianggap sebagai petanda dunia akan kiamat.

Saintis kini mendakwa berjaya mendedahkan tanda tanya kewujudan bebola terbang misteri dikenali sebagai ‘cahaya gempa bumi.’ Cahaya itu muncul dalam pelbagai bentuk sebelum atau ketika gempa bumi, mungkin petanda amaran awal.

Sebagai contoh, beberapa ketika sebelum gempa bumi L’Aquila, Itali pada 2009, ada penduduk melihat kerlipan cahaya 10 sentimeter di atas batu berturap Francesco Crispi Avenue di pusat bandar bersejarah di situ.

Pada 2012, satu bebola biru yang jatuh dari langit mengejutkan penduduk Riacho dos Pocos, negeri Maranhao di Brazil tetapi ia tidak disusuli gempa bumi.

Pada 1988, bebola cahaya terang ungu merah jambu bergerak menerusi udara di sepanjang Sungai St Lawrence berhampiran bandar ini, 11 hari sebelum satu gempa bumi kuat berlaku.

Pada 1906, kira-kira 100 kilometer di barat laut San Francisco, sepasang suami isteri melihat aliran cahaya bergerak di sepanjang bumi dua malam sebelum gempa bumi kuat yang memusnahkan kebanyakan bandar itu.

Cahaya gempa bumi jarang dilihat kemungkinan muncul pada atau berhampiran perselisihan kerak bumi yang bersempadan oleh gelinciran biasa berbanding gelinciran lain.

Pembawa caj elektrik bergerak diaktifkan tekanan, digelar lubang positif, terbang pantas di sepanjang kecerunan tekanan.

Ketika sampai di permukaan, ia mengionkan molekul udara dan menjana cahaya yang dilihat.

Sumber: bharian.com.my

[ARTIS] Rosyam Nor Makin Berusia Makin Menjadi

Tahun ini, si jejaka memasuki usia 47 tahun, manakala si wanitanya berusia 38 tahun. Tapi, mereka ini masih berbisa. Aktor handalan, Datuk Rosyam Nor dan aktres, Rita Rudaini Mokhtar masih lagi diangkat sebagai hero dan heroin dalam layar perak mahupun lakonan TV.

Nyata, usia bukan ukuran. Apa yang lebih penting, kredibiliti, disiplin kerja dan populariti sebagai pelakon hingga meletakkan Rosyam dan Rita dalam pelakon ‘kelas pertama’ yang masih dipandang dan diminati ramai.
Rosyam, biarpun usianya sudah menginjak 47 tahun dan bakal mempunyai cucu tidak lama lagi, tetapi bakat besarnya meletakkan dirinya masih tetap sebaris seperti pelakon muda popular lain.

Berilah apa saja karakter, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2003 itu mampu memberi impak besar. Melangkah ke dunia lakonan seawal usianya 17 tahun, sehingga hari, hampir 30 tahun Rosyam masih bertahan industri perfileman sehingga mampu bergelar produser berjaya.

Lihat saja lakonannya dalam filem KL Gangster 2 sebagai watak Tai Long, Rosyam mampu ‘membaham’ semua karakter lain dalam filem arahan Syamsul Yusof itu. Tai Long juga mampu melenyapkan gelaran Castello yang sekian lama dipegang. Begitu juga Rita, wajahnya masih terserlah di kaca TV dengan watak-watak sedih dan memendam rasa, biarpun wajah baru dan muda silih berganti datang dan pergi, namun Rita masih berada di puncak persada tersendiri.

Tanpa berselindung, Rosyam akui: “Saya pernah berada di kemuncak apabila memenangi Bintang Paling Popular, ABPBH 2003 dan banyak anugerah lain sepanjang hampir 30 tahun bergelar pelakon...

Rita Rudaini mengakui dia sudah lama merindui berlakon di sisi Rosyam selepas sekian lama tidak bergandingan sama ada dalam filem mahupun drama.

“Tawaran Rosyam berlakon dalam filem Balistik umpama bulan jatuh ke riba. Sudah lama kami tidak bergandingan bersama. Kali terakhir saya berlakon dalam drama Trilogi Cinta dengan Rosyam. Dan sudah lima tahun saya tidak berlakon filem selepas filem terakhir, Cinta pada 2007.

“Jika ditakdirkan Rosyam menawarkan dua atau tiga babak pun saya tetap menerimanya kerana saya tahu kredibiliti Rosyam. Bagaimanapun, Alhamdullillah... Rosyam menawarkan saya antara watak penting sebagai Selena dalam filem Balistik.

“Tidak dinafikan, saya banyak menerima tawaran berlakon filem tetapi terpaksa ditolak. Kebanyakannya mahu saya berlakon komedi.

Memang saya tak mampu nak bawa watak komedi. Saya tidak selesa...

Sumber: bharian.com.my

4 Jan 2014

[ISU] Peguam: Serbuan JAIS Tidak Wajar Dipertikaikan

Penguatkuasaan Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) Enakmen 1988 tidak wajar dipertikaikan kerana undang-undang tersebut sebenarnya merupakan terjemahan kepada peruntukan yang terkandung di dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang (gambar) berkata, tujuan enakmen tersebut adalah untuk melaksanakan peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan iaitu melarang pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam dan bukannya menggugat hak kebebasan beragama masyarakat bukan Islam di negara ini. Justeru, beliau menegaskan, cadangan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang mahu enakmen tersebut dipinda tidak wajar disokong sama sekali terutama oleh wakil-wakil rakyat beragama Islam di negeri tersebut.

“Mengapa enakmen tersebut perlu dipinda sedangkan sumber undang-undang itu adalah daripada Perlembagaan Persekutuan sendiri. “Subsekyen dalam Perkara 11(4) membenarkan mana-mana negeri untuk membuat undang-undang kawalan pengembangan kepercayaan agama bukan Islam kepada orang bukan Islam. “Sepatutnya kita perlu mendesak agar negeri-negeri yang belum menggubal enakmen seumpama itu agar melakukannya, bukannya mencadangkan negeri yang sudah ada untuk membuat pindaan atau menghapuskannya," tegas beliau. Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika mengulas laporan mengenai permintaan tiga ADUN DAP di Selangor agar enakmen tersebut dipinda untuk memastikan hak bukan Islam terjaga.

Laporan portal berita propembangkang The Malaysian Insider hari ini memetik kenyataan bersama Yeo Bee Yin (DAP-Damansara Utama) Rajiv Rishyakaran (DAP-Bukit Gasing ) dan Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) bahawa mereka akan mengemukakan cadangan pindaan itu dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DUN) akan datang dengan memastikan umat Islam terjamin daripada sebarang usaha untuk dipengaruhi oleh agama bukan Islam.

Mereka yang terkejut dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu Persatuan Bible Malaysia (BSM) semalam berkata, enakmen itu hanya bertujuan mengawal penyebaran agama bukan Islam ke atas orang Islam. Menyifatkan tindakan JAIS sebagai kasar, mereka berkata apa yang berlaku menjadi panggilan kesedaran untuk mengkaji semula sub Seksyen 9 kepada enakmen 1988 itu.

Seksyen itu menyatakan, seseorang didapati bersalah jika dia (a) dalam mana-mana penerbitan; atau (b) dalam ucapan awam atau kenyataan; (c) dalam ucapan atau kenyataan dalam mana-mana majlis atau kepada orang ramai; atau (c) dalam ucapan atau kenyataan yang diterbitkan atau disebarkan dan ketika ia dibuat dia sedar atau tahu akan diterbitkan atau disebarkan, menggunakan perkataan ‘Allah’ atau 34 perkataan Arab termasuk Hadith, Syariah, Kalifah, Fatwa, Alhamdulillah dan Insya-Allah untuk menyatakan atau menceritakan fakta, kepercayaan, idea, konsep, tindakan, kegiatan, perkara yang berkaitan dengan agama bukan Islam.

Bee Yin, Rishyakaran dan Weng San dipetik sebagai mendakwa seksyen itu jelas bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kepada semua rakyat negara ini untuk percaya, mengamal dan menguruskan agamanya. Setakat ini, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak masih belum menggubal enakmen pengawalan tersebut sebagaimana dilakukan oleh Selangor dan negeri-negeri lain di Semenanjung.

Menurut Musa, mana-mana wakil rakyat di Selangor yang memberikan sokongan agar enakmen tersebut dipinda boleh dianggap sebagai menyokong pihak tertentu menyebarkan agama bukan Islam kepada orang Islam. “Perkara ini timbul sebenarnya kerana terdapat agenda tertentu yang boleh dianggap sebagai Islam bashing," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd. Aziz berkata, kawalan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam merupakan merupakan suatu yang sudah dipersetujui dalam Perlembangaan Persekutuan sejak merdeka lagi. “Jadi penggubal enakmen pengawalan di negeri atau akta di Wilayah Persekutuan yang diluluskan adalah dengan kuasa diberikan oleh perlembagaan. “Kuasa sekatan itu di tangan Parlimen, mereka memberikan kuasa kepada polis dan pegawai penguatkuasa melalui enakmen yang diwujudkan," katanya.

Shamrahayu berkata, sekiranya kerajaan pakatan pembangkang Selangor tetap mahu membuat pindaan, perkara itu dilihat boleh mencemarkan titah Sultan Selangor. “Daripada sudut demokrasi sepenuhnya, mereka boleh membuat pindaan dengan majoriti kuasa tetapi di manakah taat dan setia mereka kepada Raja," katanya.

Sumber: utusan.com.my

[BERITA] Pelajar Serang Guru Ditahan


Polis menahan seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Perlis dekat sini kerana didakwa mencederakan seorang guru lelaki dengan kerambit pada hari pertama persekolahan semalam. Kejadian dipercayai berlaku selepas pelajar lelaki itu ditegur oleh guru berkenaan kerana menggayakan rambut ala 'punk'.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Supritendan Ismail Che Isa berkata, suspek lelaki berusia 17 tahun itu ditahan pada pukul 1 pagi ini di rumahnya di Kuala Perlis dekat sini.

"Turut dirampas ialah senjata yang digunakan untuk mencederakan guru lelaki tersebut iaitu gunting kecil yang telah diubah suai menjadi kerambit," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Ismail, pihaknya telah mendapatkan perintah tahanan reman selama seminggu terhadap pelajar berkenaan bermula hari ini untuk siasatan lanjut. Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.

"Kita akan berbincang dengan pihak Jabatan Pendidikan negeri dan juga sekolah terbabit supaya dapat melakukan pemeriksaan mengejut bagi memastikan insiden pelajar membawa senjata ke sekolah tidak berulang.

"Kita juga mahu memastikan persekitaran sekolah bebas daripada sebarang kejadian jenayah," ujarnya.

Dalam kejadian pukul 7 pagi semalam, pelajar terbabit dikatakan marah selepas guru berkenaan yang memeriksa pintu masuk sekolah menegurnya kerana menggayakan rambut ala 'punk' dan mewarnakan rambut. Selepas ditegur, pelajar itu pulang ke rumah dan datang semula ke sekolah dengan ibunya untuk bertemu dengan guru tersebut sehingga berlaku satu pertengkaran.

Pelajar itu dikatakan bertindak menyerang guru berkenaan menggunakan kerambit sehingga mengakibatkan kecederaan di bawah mata kanannya dan terpaksa diberikan rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Perlis.

Sumber: utusan.com.my

3 Jan 2014

[ISU] 10 Dipanggil Beri Keterangan Berkenaan Kalimah Allah

Seramai 10 individu sudah dipanggil bagi merekodkan keterangan berhubung kenyataan Pengarang Herald-The Catholic Weekly, Lawrence Andrew, minggu lalu bahawa kalimah Allah akan terus digunakan dalam perhimpuan mingguan berbahasa Melayu gereja itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata bagaimanapun, Andrew tidak termasuk dalam senarai individu itu dan akan memanggilnya dalam tempoh terdekat.

"Sesiapa saja yang terbabit akan dipanggil untuk membolehkan kita ambil keterangan membabitkan kes ini.

"Sehingga semalam, sebanyak 86 laporan polis sudah diterima," katanya.

Sumber: bharian.com.my

[ISU] Kerajaan Persekutuan Dalang Serbuan JAIS?

Pakar perlembagaan, Prof Abdul Aziz Bari berkata Menteri Besar (MB) Selangor tiada kuasa ke atas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana badan itu di bawah kuasa Sultan Selangor.

Beliau berkata sebagai ketua agama Islam di Selangor, JAIS yang "menjalankan pentadbiran rutin" dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) adalah sebahagian dari hierarki dan kuasa Sultan.

"Mereka... mesti faham di bawah perlembagaan, Islam ialah perkara di bawah kuasa Sultan dan baginda boleh bertindak dengan atau tanpa nasihat menteri besar.

"Jika Sultan mengambil keputusan untuk tak berbuat apa-apa – seperti kebiasaannya – MB dan exco boleh buat keputusan.

“Bagaimanapun, di saat Sultan buat keputusan, MB perlu beralih ke tepi," kata beliau dalam emel kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata ia tidak bermakna serbuan ke atas Persatuan Bible Malaysia (BSM) itu mengikut undang-undang, dan perkara ini masih boleh dibincangkan.

Sementara itu, kehadiran polis semasa serbuan semalam turut menimbulkan persoalan yang 'menarik', tambah beliau.

"Adakah ini bermaksud kerajaan persekutuan, yang mempunyai kuasa ke atas polis, turut berada di belakang serbuan di premis Persatuan Bible?" tanya beliau.

Abdul Aziz memberi respon terhadap kenyataan Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang, yang mendesak Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi penjelasan berhubung rampasan 321 Bible berahasa Melayu dari premis BSM di Petaling jaya semalam.

Sumber: malaysiakini.com

[PANAS] Shila Amzah Kahwin Senyap Di Shanghai?


Mungkin ada yang terkejut sebaik membaca tajuk di atas. Mana tidaknya bila melihat foto Shila yang kelihatan cantik mengenakan gaun pengantin pada malam tahun baru.

Melihat kepada foto-foto yang dikongsikan, ramai tertanya-tanya tentang tujuan Shila bergaya seakan pengantin yang bersedia untuk diijabkabulkan. Adakah penyanyi ini sudah menemui pengganti cinta hatinya di negara orang?

Namun kalau anda nak tahu, Shila sebenarnya terlibat dengan persembahan di OrientalTV New Year Eve Countdown Concert yang memerlukannya berpakaian sebegitu demi mengikut tema perkahwinan yang ditetapkan.

Pada malam konsert tersebut, Shila telah menyampaikan lagu A Moment Like This dan sebuah lagu lagi berjudul HaoJiubujian merupakan persembahan duetnya bersama James dari Chinese Idol.

Menerusi video rakaman persembahan Shila, sudah pasti ramai peminat Shila yang berbangga dengan pencapaiannya hingga berjaya mencipta nama di China.

Sumber: ohbulan.com

[ISU] Exco: Tiada Arahan Serbuan Dari Kerajaan Negeri


Exco agama Selangor Sallehan Mukhyi berkata kerajaan negeri tidak mengarahkan Jabatan Agama Islam negeri itu (JAIS) melakukan serbuan terhadap Pejabat Bible Society Malaysia (BSM) di Petaling Jaya hari ini. Beliau juga berkata jabatan itu juga tidak memaklumkan kepada kerajaan negeri berhubung serbuan tersebut dan ADUN Sabak itu hanya mengetahuinya selepas tindakan itu dibuat.

"Kami diberitahu baru saja tapi kami tak ada maklumat. JAIS tak memaklumkan kepada kerajaan negeri mengenai serbuan tersebut.

"Apa tindakan JAIS, (mereka) perlu mendapat arahan dari sama ada (daripada) kerajaan negeri atau MAIS (Majlis Agama Islam Selangor).

“Perkara (serbuan) ini tak dibincangkan dengan kerajaan negeri," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau mengulas berhubung tindakan JAIS yang menyebu pejabat BSM di Petaling Jaya kira-kira jam 1 tengah hari tadi dan sebanyak 321 Bible versi bahasa Melayu dalam 16 kotak dirampas. Pengerusi BSM Lee Min Choon ketika dihubungi Malaysiakini berkata, sepuluh Bible berbahasa Iban juga dirampas dan mendakwa seramai 15 pegawai jabatan itu tampil dengan agresif.

Sumber: malaysiakini.com

[BERITA] Lebih 5 Juta Pelajar Akan Terima RM100 Januari Ini


Lebih lima juta pelajar sekolah di seluruh negara akan menerima bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 bermula 15 Januari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan, berkata bantuan berkenaan akan diserahkan kepada pelajar atau ibu bapa mereka sendiri sebelum 15 Januari bagi mengurangkan beban yang ditanggung.

Beliau berkata, bantuan ini tidak akan diserahkan kepada orang tengah atau wakil ibu bapa dan pelajar bagi mengelak ia disalahguna atau tidak sampai kepada golongan sasar.

"Kita akan memberi bantuan awal persekolahan ini selewat-lewatnya 15 Januari dan ia akan mengurangkan beban kepada ibu bapa terutama mereka yang mempunyai ramai anak bersekolah," katanya.

Sumber: bharian.com.my

[ISU] Harga Barang Makanan Meningkat


Harga barang makanan terutama barangan basah di beberapa negeri didapati meningkat dalam tempoh dua hari pertama 2014 ini. Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar di seluruh negara hari ini mendapati berlaku peningkatan harga barangan terutama cili merah tempatan, bawang merah besar dan ikan kembung dari 70 sen hingga RM6.

Bagaimanapun, tiada kenaikan ketara dikesan di Negeri Sembilan, Perak, Sabah dan Johor apabila harga barangan tersebut hari ini dan semalam masih pada harga sama berbanding 2013. Di ibu negara, sebuah pasar raya di Bandar Sri Permaisuri di sini didapati menjual cili merah tempatan dengan harga RM9.99 sekilogram berbanding RM6.99 sebelum ini manakala ikan kembung dijual dengan harga RM16.90 berbanding RM14.90 sekilogram.

Tinjauan di Pasar Jalan Raja Bot di Chow Kit pula mendapati harga bawang merah besar berharga sekitar RM4 hingga RM4.20 sekilogram berbanding RM3.50 iaitu harga standard bagi pasar-pasar basah sebelum ini. Apa yang mengejutkan, cili merah tempatan yang lazimnya berharga sekitar RM6 hingga RM7 sekilogram, naik mendadak mencecah RM12 di kebanyakan pasar atau gerai jualan.

Para peniaga juga dilihat cuba mengaburi tindakan menaikkan harga tersebut dengan menjual cili berkenaan pada kuantiti 500 gram pada harga RM6 iaitu sama dengan harga bagi satu kilogram barang keperluan tersebut sebelum ini. Dalam pada itu, harga teh tarik dan roti canai masih berada pada tahap berpatutan dengan kebanyakan restoran menjual sekitar RM1.40 hingga RM1.50 dan RM1 hingga RM1.20.

Di KUALA TERENGGANU, harga barangan keperluan harian di beberapa pasar dan kedai runcit sekitar bandar raya ini mulai meningkat kesan daripada pihak pembekal dan pengeluar beransur-ansur menaikkan harga. Menurut para peniaga, alasan utama pembekal ialah kenaikan kos pihak pengeluar termasuk pengangkutan manakala sesetengahnya naik harga kerana bekalan agak terhad.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, harga cili meningkat kepada RM10 hingga RM15 sekilogram berbanding RM8 dan RM9 sebelum ini. Bawang besar pula dijual dalam lingkungan RM4 hingga RM4.50 yang lazimnya boleh dibeli dengan harga dalam lingkungan sekitar RM3 manakala ikan kembung, antara RM10 dan RM15. Salah seorang peniaga, Ramli Yaacob, 44, berkata, mereka terkejut selepas pembekal menaikkan harga bekalan secara mendadak dan mereka tidak mempunyai pilihan selain menjual pada harga lebih mahal.

"Melihat kepada perkembangan ini, ada kemungkinan berlakunya kenaikan lagi pada harga sayur-sayuran dan barangan lain terutama menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina nanti," katanya ketika ditemui hari ini.

Di KUANTAN, harga barangan terutama ikan dilaporkan meningkat tetapi dikaitkan dengan faktor musim tengkujuh yang melanda kawasan pantai timur ketika ini. Tinjauan mendapati, harga ikan kembung dijual pada harga berbeza iaitu antara RM14 dan RM15 berbanding RM9 hingga RM10 sekilogram manakala harga bawang merah pula antara RM2 hingga RM4 sekilogram. Bagi cili merah pula, beberapa tempat termasuk Pasar Besar Kuantan menjual dengan harga RM8 sekilogram.

Dalam pada itu, di Sarawak, keadaan cuaca tidak menentu dan banjir di negeri ini mengakibatkan kenaikan harga barangan keperluan asas seperti sayur-sayuran dan ikan. Tinjauan di beberapa pasar di sekitar Serian dan Kuching hari ini mendapati, harga sayur-sayuran dan ikan serta beberapa barang keperluan harian lain telah naik mendadak berbanding sebelum ini. Sebelum ini, sayur-sayuran dijual RM3 hingga RM3.50 sekilogram namun dinaikkan RM6.50 hingga RM7 sekilogram. Kedatangan tahun baharu menyaksikan harga ikan kembung naik kira-kira RM2 daripada harga yang dijual sebelum ini.

Situasi sama juga berlaku di ALOR SETAR, Kedah apabila harga barang keperluan harian terutama barang basah di negeri ini seperti ikan, cili merah dan beberapa jenis sayuran berlaku sedikit kenaikan. Tinjauan di beberapa pasar mendapati, harga ikan kembung saiz sederhana mencecah sehingga RM9 sekilogram berbanding RM7 sebelum ini. Ikan kembung bersaiz kecil dan selayang dijual sehingga RM7 sekilogram, peningkatan RM2 hingga RM3.

Kebanyakan peniaga memberi alasan masalah kekurangan bekalan menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga barang tersebut. Dalam pada itu, beberapa negeri lain seperti Perak, Sabah, Kelantan dan Negeri Sembilan menyaksikan tiada kenaikan ketara berlaku.

Sumber: www.utusan.com.my

2 Jan 2014

[BERITA] Isu Guling: Penganjur Demo 31 Dis Mahu Saman Kerajaan

   
Selepas jalan raya, penganjur perhimpunan membantah kenaikan kos sara hidup pada 31 Disember lalu akan mengheret kerajaan dan pihak polis ke mahkamah kerana mendakwa mereka mahu menggulingkan kerajaan.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), antara penganjur himpunan itu berkata, dakwaan itu ternyata meleset apabila perhimpunan itu berlangsung aman, tiada kecederaan dan tiada kerajaan “terguling”.

“Pihak polis menuduh SAMM dan beberapa NGO sebagai penganjur 'himpunan guling kerajaan', ternyata tuduhan ini melulu dan tersasar.

“Proses saman akan bermula dalam masa terdekat bagi membersihkan nama SAMM,” kata pengarah propagandanya Edy Noor Reduan.

Dalam kenyataannya lewat malam adi, Edy juga menafikan peserta himpunan mengganggu konsert ambang tahun baru 2014 dan menurutnya “tiada seorang pun peserta himpunan yang naik ke pentas konsert” seperti didakwa. Mereka bagaimanapun berpendirian konsert yang belanja besar RM15 juta idi Dataran Merdeka otu wajar dihentikan.

“Ini kerana ketika ramai yang terkesan kenaikan berantai kos sara hidup, sebuah agensi kerajaan sewenang-wenangnya membazirkan wang rakyat.

“Sepatutnya sambutan tahun baru perlu bersifat muhasabah,” katanya.

Sumber: www.malaysiakini.com

[ISU] Kalimah Allah: Polis Selangor Panggil Pengarang Herald


Polis Selangor akan memanggil Pengarang Herald-The Catholic Weekly, Lawrence Andrew dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya mengenai penggunaan khalimah Allah di Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata Polis Selangor juga sedang berbincang dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengenai isu penggunaan kalimah Allah di sidang gereja seperti yang dikatakan Andrew minggu lalu.

Mohd Shukri berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini.

Sumber: www.bharian.com.my

[GAMBAR] Yusry & Lisa Sambut Tahun Baru Di Disneyland


Tidak sah rasanya ketibaan tahun baru tanpa keraian dan percikan bunga api. Seperti tahun-tahun yang lepas, tahun 2014 ini juga disambut penuh meriah oleh para selebriti tempatan.

Ada yang menyambutnya bersama keluarga dan teman rapat di rumah, malah ada juga yang ke luar negara untuk merasai sendiri kemeriahan sambutan tahun baru di sana. Seperti Lisa Surihani dan Yusry, mereka sendiri telah bertolak ke London sejak seminggu yang lalu untuk bercuti sebelum kemudiannya terbang ke Amerika Syarikat pula bagi meraikan tahun baru.

Apa yang menariknya, pasangan ini sanggup menunggu dari petang hingga ke malam hari semata-mata untuk menyaksikan kemuncak tahun baru di taman tema Magic Kingdom, Walt Disney World Resort. Walaupun Yusry demam ketika itu, namun penantian mereka ternyata berbaloi melihat kepada keindahan suasana Istana Cinderella yang disinari percikan bunga api berwarna-warni.

Sejujurnya, Lisa sangat bertuah kerana berpeluang merasai pengalaman berada di taman tema dongeng tersebut, lebih-lebih lagi bersama orang tersayang. Apapun untuk semua pembaca, di sini kami sertakan foto percutian Lisa dan Yusry di luar negara untuk tatapan anda.

Sumber: www.ohbulan.com

[PENYANYI] Najwa Latif Nafi Burukkan Peserta Perhimpunan


‘Itu tidak benar. Saya tidak ‘tweet’ sebegitu’. Demikian reaksi penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Cinta Muka Buku’,  Najwa Latif berhubung penyebaran mesej bergambar yang menyerupai akaun Twitter miliknya, semalam.

Mesej bergambar itu seolah-olah mendakwa peserta himpunan Turun di Dataran Merdeka semalam melakukan keganasan dan gangguan seksual. Mesej bergambar itu dikatakan menjadi “viral” di laman sosial dan mendapat kritikan hebat daripada peminat dan peserta himpunan terbabit yang kesal dengan tuduhan liar tersebut malah ia turut mengaitkan seorang isteri pemimpin tertinggi negara.

Najwa atau nama sebenarnya, Imratul Najwa Abdul Latif mendakwa kenyataan yang dimuat naik dengan menggunakan laman mikro, Twitter menyerupai akaunnya itu dipercayai direka oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan menjatuhkan reputasinya sebagai seorang artis yang berhijab. Menurutnya, perkara itu disedari pada lewat malam semalam selepas membuat persembahan sempena sambutan ambang tahun baharu 2014 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Itu tidak benar, saya tidak ada ‘tweet’ sebegitu, dan saya boleh katakan ia palsu. Setakat ini benda itu tiada dalam Twitter saya sendiri, jadi, saya rasa itu adalah palsu, ada orang lain edit, mungkin menggunakan perisian grafik komputer.

“Semalam, selepas saya buat persembahan di Dataran Merdeka anjuran DBKL dalam pukul 1 pagi saya perasan perkara itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Najwa turut menafikan terlibat dengan sebarang aktiviti selepas selesai membuat persembahan di Konsert KL New Year Countdown 2014’ anjuran Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya memang berada di Dataran Merdeka kerana ada persembahan tahun baru. Cuma, saya tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti selepas itu.

“Saya menyanyi pada jam 11.15 malam, ketika itu keadaan masih tenang lagi. Tiada apa-apa yang berlaku dan semua orang masih OK. Sekitar jam 11.40 malam saya sudah berada dalam kereta untuk balik,” katanya.

Biarpun perkara tersebut telah menjejaskan reputasinya, namun Najwa tidak berhasrat untuk membuat laporan polis dan sudah memaafkan pelaku tersebut.

“Setakat ini tiada (laporan polis) kerana saya sebelum ini pernah kena, apa pun berlaku saya maafkan.

“Apa pun Tuhan tahu, dan apa yang berlaku semalam, pengurus saya, kakak saya tahu. Tak perlu nak buat fitnah kerana ia boleh menjatuhkan imej orang lain juga. Jadi, berhentilah daripada buat perkara sebegitu,” katanya.

Sumber: www.sinarharian.com.my

1 Jan 2014

[TV] PU Rahmat Di Landasan Terbaik


Program Mimbar Pencetus Ummah (PU) semakin sampai ke kemuncaknya apabila bakal memasuki pusingan separuh akhir pada minggu ke tujuh.  Minggu lalu kehangatan semakin terasa apabila semua peserta melaksanakan tugasan yang diberikan dengan baik.

Paling menarik perhatian adalah PU Rahmat, persembahannya semakin meningkat dari minggu ke minggu dan semakin konsisten. Menurut juri persembahan, Abby Fana pada minggu keenam lalu persembahan PU Rahmat sangat bagus dan menarik perhatiannya.

“Saya tidak puas menyaksikan persembahan PU Rahmat dan inginkan lagi dan lagi. Hal ini yang membuatkan PU Rahmat berjaya menarik audiens untuk terus menyaksikannya.

“Bagi saya, PU Rahmat berjaya membawa perubahan dalam dunia dakwah, dia telah berjaya menarik sebilangan besar anak-anak muda untuk mendekati agama.

“Faktor usia dan juga kebijaksanaan yang dimilikinya membuatkan PU Rahmat menjadi salah seorang yang akan berjaya suatu masa nanti. Bakatnya perlu digilap lagi dan dia bakal menjadi pendakwah yang disegani kelak,” Katanya.

Selain itu, PU Rahmat merupakan salah seorang peserta yang sering berada dalam kedudukan tiga terbaik setiap minggu. Hampir empat minggu berturut-turut dia berada di kedudukan tersebut. Namun anak jati Segambut ini tidak mudah berasa selesa dengan kedudukan itu.

“Setiap minggu tugasan yang diberikan kepada saya dilakukan dengan sebaik mungkin, tunjuk ajar daripada murabbi sangat-sangat saya hargai kerana banyak memperbetulkan apa yang sepatutnya diperbetulkan.

“Saya bukanlah seorang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi, tapi minat saya ke arah ini telah membawa saya berada di sini hari ini,” katanya.

Walaupun berusia 20 tahun, namun kehebatan ketika berada di pentas bukan sahaja dikagumi juri malahan penonton yang setiap minggu tidak sabar untuk menantikan persembahan daripada PU Rahmat. Mungkin semua mengenali Murabbi  dalam Mimbar Pencetus Ummah iaitu datuk haji Fadzilah Kamsah, Ustaz Tarmizi dan juga Ustaz Zulkifli.

Mereka bertiga merupakan tulang belakang kepada kejayaan peserta Pencetus Ummah. Tugas mereka adalah memberikan panduan, guru dan pembakar semangat kepada peserta. Selain itu, tugas murabbi adalah sebagai individu yang bertanggungjawab kepada jatuh bangun seseorang peserta.

Menurut Datuk Haji Fadzilah Kamsah, sebagai seorang murabbi banyak perkara yang perlu dilakukan salah satunya memberikan kefahaman kepada peserta, menyatakan apa yang perlu dilakukan untuk memperbaiki kesilapan dan juga mempraktikkan cara penyampaian dakwah supaya isu-isu yang dibawa adalah isu kontemporari.

“Tugas ini bukanlah satu tugas yang mudah sebenarnya, saya perlu memberikan panduan yang baik kepada peserta.

“Bagi saya peserta-peserta kita sememangnya mempunyai kelebihan yang tersendiri, ada dalam kalangan mereka yang mempunyai ilmu agama yang cukup tinggi dan tugas saya adalah memberikan panduan cara dakwah yang boleh menarik orang ramai mendekati agama.

“Sebagaimana yang kita ketahui sebagai seorang guru, apa yang diajarkan begitulah muridnya akan lakukan jadi kefahaman terhadap sesuatu situasi atau masalah perlu dilihat dari berbagai perspektif,” katanya.

Manakala bagi ustaz Zulkifli, beliau menyatakan tugas sebagai Murabbi seperti tongkat dan peserta PU sebagai bayang-bayang, andai kata tongkat itu bengkok tidak mungkin bayang tongkat itu lurus. Sebagai salah seorang bekas pelajar Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis), PU Sufian terpaksa mengundurkan diri dari persaingan Mimbar Pencetus Ummah minggu keenam apabila minggu sebelumnya berada di kedudukan tiga terbawah.

Peserta yang berada di kedudukan tiga terendah di undi oleh penonton melalui laman Facebook. Bersaing bersama dua lagi peserta yang mempunyai potensi yang besar seperti PU Hafiz dan PU Fakhrul. PU Sufian terpaksa akur dengan undian penonton. Sebagai seorang pensyarah, PU Sufian mengakui dirinya begitu kerdil jika dibandingkan dengan peserta-peserta lain.

“Saya sangat-sangat bertuah kerana berjaya sehingga ke tahap ini, jika dibandingkan dengan peserta-peserta lain yang mempunyai kelebihan yang tersendiri.

“Alhamdulillah, perjuangan saya tidak akan berhenti setakat ini dan di luar sana sebenarnya perjuangan yang perlu saya tempuhi untuk menyampaikan berdakwah.

“Saya berterima kasih kerana di pentas ini saya berjaya mengasah bakat dan menimba ilmu dari peserta-peserta lain dan tidak lupa juga murabbi yang banyak mencurahkan ilmu dan tunjuk ajar,” katanya.

Pada minggu keenam ini tiga peserta berada di kedudukan tiga terendah, antaranya PU Fakhrul, PU Salman dan PU Yeop. Namun bagi minggu keenam lalu, sistem undian telah berubah apabila keenam-enam peserta akan diundi oleh penonton. Nasib PU Fakhrul, PU Hafiz, PU Rahmat, PU Yeop, PU Salman dan PU Shahul bakal diketahui pada minggu ke tujuh  yang memasuki peringkat separuh akhir.

Sumber: www.sinarharian.com.my

[ARTIS] Akim Berteka-teki


Bekas peserta AF ini mahu peminat bersabar, enggan mengulas soal hubungan dan kesediaan Stacy mulakan hidup baru.

Selepas sebuah akhbar menyiarkan laporan penyanyi Stacy makin terbuka berbicara soal cinta selain dikatakan bersedia mendalami Islam, teman lelaki penyanyi lagu Bosan itu, Akim Ahmad mula terkena tempiasnya.

Sudah tentu, ramai peminat terkejut kerana sebelum ini, baik Stacy atau Akim masing-masing mengambil ‘jalan selamat’ dengan mengaku mereka sekadar teman rapat.

Diaju pertanyaan kepada Akim, dia memberitahu, tidak adil untuk dirinya memberi kenyataan kerana tidak berada di sisi Stacy ketika wartawan bertanyakan soal itu.

Sumber: www.bharian.com.my

Baca Yang Ni Pulak...

Jangan lupa "Like" kami untuk mendapat berita terbaru...