Memaparkan catatan dengan label bom. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bom. Papar semua catatan

7 Jan 2014

[PELIK] Bom Disangka Ekzos Motosikal

Seorang pekebun sayur di Kuala Langat, Selangor terkejut apabila objek besi yang disangkanya ekzos motosikal berkuasa tinggi rupa-rupanya bom yang dipercayai masih aktif.

Penduduk Orang Asli, Keling Don, 57, berkata, ketika kejadian dia hendak membersihkan tanaman kacangnya bersama rakannya, Lobo Bosong, 36, sebelum menjumpai bom jenis air drop kira-kira 100 meter dari kawasan tanamannya berhampiran Lebuhraya SKVE, kira-kira jam 4.30 petang kelmarin. Menurutnya, dia dan Lobo percaya bom tersebut merupakan tinggalan Perang Dunia Kedua.

"Saya sedang sibuk bersihkan tanaman dan lihat Lobo mendekati objek keras sebelum memanggil saya.

"Saya sangka objek besi itu ekzos motosikal, tak sangka pula ia adalah bom sepanjang 36 sentimeter iaitu kira-kira sedepa tangan. Nasib baik bom itu tak meletup ketika kami bersihkan kawasan semak di sini," katanya.

Keling yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Orang Asli Taman Desa Kemandol berkata, dia hanya menyedari objek yang sudah berkarat itu sebutir bom selepas melihat fizikalnya pelik dan segera menghubungi Balai Polis Sungai Jarum untuk tindakan lanjut. Katanya, dia tidak berani memindahkan bom berkenaan dan hanya menunggu anggota dari Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor tiba untuk memeriksa bom tersebut.

“Penemuan ini merupakan sejarah buat kami kerana belum pernah sesiapa di kawasan yang mula dijadikan kawasan tumpuan lebuh raya menjumpai bom sejak kawasan hutan di sini diteroka bagi pembinaan lebuh raya.

“Oleh itu kita mohon supaya mana-mana pekebun atau penduduk Orang Asli melaporkan kepada pihak polis sekiranya terjumpa objek yang pelik ketika berada di kebun selain meningkatkan keselamatan ketika melakukan kerja membersihkan kawasan kebun,” katanya.

Sementara itu, bom tersebut telah dimusnahkan oleh unit pemusnah bom IPK Selangor kira-kira jam 1.15 petang semalam di kawasan kebun dengan jarak tiga kilometer dari kawasan perumahan Taman Desa Kemandol. Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azman Abdul Razak ketika dihubungi mengesahkan bom yang dijumpai oleh Orang Asli berkenaan.

"Objek besi yang dijumpai itu adalah bom jenis air drop dengan anggaran berat kira-kira 25 hingga 30 kilogram," katanya.

Sumber: sinarharian.com.my

Baca Yang Ni Pulak...

Jangan lupa "Like" kami untuk mendapat berita terbaru...