Memaparkan catatan dengan label BSM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BSM. Papar semua catatan

10 Jan 2014

[ISU] JAIS Akan Pulangkan Bible Jika...

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu mendapatkan pengesahan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung status Bible berbahasa Melayu yang dirampasnya daripada Persatuan Bible Malaysia (BSM) sebelum ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, KDN bertanggungjawab memastikan sama ada Bible itu selari dengan penyelesaian 10 perkara. Penyelesaian kabinet itu antaranya membenarkan pengimportan, penggunaan dan percetakan Bible dalam bahasa kebangsaan.

Khalid berkata, Selangor mempunyai Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 yang menghalang penggunaan nama Allah dalam penulisan, penerbitan, pengucapan awam dan kenyataan.

"Sekiranya KDN berpuas hati penerbitan kitab-kitab ini memenuhi Penyelesaian 10 Perkara, kerajaan negeri akan mengarahkan JAIS untuk memulangkan semula kitab-kitab tersebut kepada BSM," katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Khalid selepas mempengerusikan mesyuarat exco Selangor yang amat panjang hari ini, selama kira-kira 8 jam. Khalid juga berkata Selangor akan terus memastikan titah Sultan dan undang-undang dijaga di samping bekerjasama dengan bukan Islam bagi memastikan mereka hidup dalam harmoni dan bertoleransi.

"Kerajaan negeri menghormati hak kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan dan akan meneruskan usaha mewujudkan masyarakat yang saling menghormati di samping menerima agama Islam sebagai agama rasmi dan peranan Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam," kata beliau.

Januari tahun lalu, Khalid mengumumkan dasar Selangor menyokong enakmen tersebut di samping titah Sultan yang mahu perkataan Allah tidak digunakan dalam konteks agama selain Islam.

Sumber: malaysiakini.com

4 Jan 2014

[ISU] Peguam: Serbuan JAIS Tidak Wajar Dipertikaikan

Penguatkuasaan Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) Enakmen 1988 tidak wajar dipertikaikan kerana undang-undang tersebut sebenarnya merupakan terjemahan kepada peruntukan yang terkandung di dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang (gambar) berkata, tujuan enakmen tersebut adalah untuk melaksanakan peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan iaitu melarang pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam dan bukannya menggugat hak kebebasan beragama masyarakat bukan Islam di negara ini. Justeru, beliau menegaskan, cadangan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang mahu enakmen tersebut dipinda tidak wajar disokong sama sekali terutama oleh wakil-wakil rakyat beragama Islam di negeri tersebut.

“Mengapa enakmen tersebut perlu dipinda sedangkan sumber undang-undang itu adalah daripada Perlembagaan Persekutuan sendiri. “Subsekyen dalam Perkara 11(4) membenarkan mana-mana negeri untuk membuat undang-undang kawalan pengembangan kepercayaan agama bukan Islam kepada orang bukan Islam. “Sepatutnya kita perlu mendesak agar negeri-negeri yang belum menggubal enakmen seumpama itu agar melakukannya, bukannya mencadangkan negeri yang sudah ada untuk membuat pindaan atau menghapuskannya," tegas beliau. Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika mengulas laporan mengenai permintaan tiga ADUN DAP di Selangor agar enakmen tersebut dipinda untuk memastikan hak bukan Islam terjaga.

Laporan portal berita propembangkang The Malaysian Insider hari ini memetik kenyataan bersama Yeo Bee Yin (DAP-Damansara Utama) Rajiv Rishyakaran (DAP-Bukit Gasing ) dan Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) bahawa mereka akan mengemukakan cadangan pindaan itu dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DUN) akan datang dengan memastikan umat Islam terjamin daripada sebarang usaha untuk dipengaruhi oleh agama bukan Islam.

Mereka yang terkejut dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu Persatuan Bible Malaysia (BSM) semalam berkata, enakmen itu hanya bertujuan mengawal penyebaran agama bukan Islam ke atas orang Islam. Menyifatkan tindakan JAIS sebagai kasar, mereka berkata apa yang berlaku menjadi panggilan kesedaran untuk mengkaji semula sub Seksyen 9 kepada enakmen 1988 itu.

Seksyen itu menyatakan, seseorang didapati bersalah jika dia (a) dalam mana-mana penerbitan; atau (b) dalam ucapan awam atau kenyataan; (c) dalam ucapan atau kenyataan dalam mana-mana majlis atau kepada orang ramai; atau (c) dalam ucapan atau kenyataan yang diterbitkan atau disebarkan dan ketika ia dibuat dia sedar atau tahu akan diterbitkan atau disebarkan, menggunakan perkataan ‘Allah’ atau 34 perkataan Arab termasuk Hadith, Syariah, Kalifah, Fatwa, Alhamdulillah dan Insya-Allah untuk menyatakan atau menceritakan fakta, kepercayaan, idea, konsep, tindakan, kegiatan, perkara yang berkaitan dengan agama bukan Islam.

Bee Yin, Rishyakaran dan Weng San dipetik sebagai mendakwa seksyen itu jelas bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kepada semua rakyat negara ini untuk percaya, mengamal dan menguruskan agamanya. Setakat ini, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak masih belum menggubal enakmen pengawalan tersebut sebagaimana dilakukan oleh Selangor dan negeri-negeri lain di Semenanjung.

Menurut Musa, mana-mana wakil rakyat di Selangor yang memberikan sokongan agar enakmen tersebut dipinda boleh dianggap sebagai menyokong pihak tertentu menyebarkan agama bukan Islam kepada orang Islam. “Perkara ini timbul sebenarnya kerana terdapat agenda tertentu yang boleh dianggap sebagai Islam bashing," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd. Aziz berkata, kawalan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam merupakan merupakan suatu yang sudah dipersetujui dalam Perlembangaan Persekutuan sejak merdeka lagi. “Jadi penggubal enakmen pengawalan di negeri atau akta di Wilayah Persekutuan yang diluluskan adalah dengan kuasa diberikan oleh perlembagaan. “Kuasa sekatan itu di tangan Parlimen, mereka memberikan kuasa kepada polis dan pegawai penguatkuasa melalui enakmen yang diwujudkan," katanya.

Shamrahayu berkata, sekiranya kerajaan pakatan pembangkang Selangor tetap mahu membuat pindaan, perkara itu dilihat boleh mencemarkan titah Sultan Selangor. “Daripada sudut demokrasi sepenuhnya, mereka boleh membuat pindaan dengan majoriti kuasa tetapi di manakah taat dan setia mereka kepada Raja," katanya.

Sumber: utusan.com.my

3 Jan 2014

[ISU] 10 Dipanggil Beri Keterangan Berkenaan Kalimah Allah

Seramai 10 individu sudah dipanggil bagi merekodkan keterangan berhubung kenyataan Pengarang Herald-The Catholic Weekly, Lawrence Andrew, minggu lalu bahawa kalimah Allah akan terus digunakan dalam perhimpuan mingguan berbahasa Melayu gereja itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata bagaimanapun, Andrew tidak termasuk dalam senarai individu itu dan akan memanggilnya dalam tempoh terdekat.

"Sesiapa saja yang terbabit akan dipanggil untuk membolehkan kita ambil keterangan membabitkan kes ini.

"Sehingga semalam, sebanyak 86 laporan polis sudah diterima," katanya.

Sumber: bharian.com.my

[ISU] Kerajaan Persekutuan Dalang Serbuan JAIS?

Pakar perlembagaan, Prof Abdul Aziz Bari berkata Menteri Besar (MB) Selangor tiada kuasa ke atas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana badan itu di bawah kuasa Sultan Selangor.

Beliau berkata sebagai ketua agama Islam di Selangor, JAIS yang "menjalankan pentadbiran rutin" dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) adalah sebahagian dari hierarki dan kuasa Sultan.

"Mereka... mesti faham di bawah perlembagaan, Islam ialah perkara di bawah kuasa Sultan dan baginda boleh bertindak dengan atau tanpa nasihat menteri besar.

"Jika Sultan mengambil keputusan untuk tak berbuat apa-apa – seperti kebiasaannya – MB dan exco boleh buat keputusan.

“Bagaimanapun, di saat Sultan buat keputusan, MB perlu beralih ke tepi," kata beliau dalam emel kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata ia tidak bermakna serbuan ke atas Persatuan Bible Malaysia (BSM) itu mengikut undang-undang, dan perkara ini masih boleh dibincangkan.

Sementara itu, kehadiran polis semasa serbuan semalam turut menimbulkan persoalan yang 'menarik', tambah beliau.

"Adakah ini bermaksud kerajaan persekutuan, yang mempunyai kuasa ke atas polis, turut berada di belakang serbuan di premis Persatuan Bible?" tanya beliau.

Abdul Aziz memberi respon terhadap kenyataan Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang, yang mendesak Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi penjelasan berhubung rampasan 321 Bible berahasa Melayu dari premis BSM di Petaling jaya semalam.

Sumber: malaysiakini.com

[ISU] Exco: Tiada Arahan Serbuan Dari Kerajaan Negeri


Exco agama Selangor Sallehan Mukhyi berkata kerajaan negeri tidak mengarahkan Jabatan Agama Islam negeri itu (JAIS) melakukan serbuan terhadap Pejabat Bible Society Malaysia (BSM) di Petaling Jaya hari ini. Beliau juga berkata jabatan itu juga tidak memaklumkan kepada kerajaan negeri berhubung serbuan tersebut dan ADUN Sabak itu hanya mengetahuinya selepas tindakan itu dibuat.

"Kami diberitahu baru saja tapi kami tak ada maklumat. JAIS tak memaklumkan kepada kerajaan negeri mengenai serbuan tersebut.

"Apa tindakan JAIS, (mereka) perlu mendapat arahan dari sama ada (daripada) kerajaan negeri atau MAIS (Majlis Agama Islam Selangor).

“Perkara (serbuan) ini tak dibincangkan dengan kerajaan negeri," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau mengulas berhubung tindakan JAIS yang menyebu pejabat BSM di Petaling Jaya kira-kira jam 1 tengah hari tadi dan sebanyak 321 Bible versi bahasa Melayu dalam 16 kotak dirampas. Pengerusi BSM Lee Min Choon ketika dihubungi Malaysiakini berkata, sepuluh Bible berbahasa Iban juga dirampas dan mendakwa seramai 15 pegawai jabatan itu tampil dengan agresif.

Sumber: malaysiakini.com

Baca Yang Ni Pulak...

Jangan lupa "Like" kami untuk mendapat berita terbaru...